Selamat Hari Raya

Selamat Menyambut Syawal Mulia. Ampun maaf restu dipinta.

City Hall,
Cardiff, UK
20 September 09

Leave a comment »

Ramadan yang berbaki

Ramadan hampir berakhir. Cuba kita koreksi diri. Setakat mana taqwa dan iman yang telah kita bina; hasil tarbiyah Ramadan. Berapakah pula longgokan amal yang telah kita kerjakan, juga himpunan dosa dan noda yang berjaya kita tinggalkan. Seandainya tidak ada apa-apa yang berubah, baik dari segi amal, iman dan taqwa, mungkin hampir jelas bahawa puasa kita tidak berkesan.

Bulan puasa patutnya Quran dibelek-belek, tapi kita masih biarkan ianya berdebu, diselak malas-malas sekali-sekala.

Terawih patut tidak ditinggalkan, tapi kita masih leka menjamah mata dengan rancangan tv dan filem. Solat jemaah hendaknya hanya di masjid (atau setidaknya berjemaah), tapi kita masih leka, bertangguh-tangguh.

Mata, telinga, mulut yang perlu lebih dijaga, sama sahaja galaknya seperti di luar Ramadhan. Nah, kalau begitu, mampukah kita menafikan bahawa puasa kita hanya sekadar beroleh lapar dan dahaga? Mampukah kita menjamin bahawa Ramadan yang seterusnya pasti ketemu? Mungkin saja ini yang terakhir.

Ramadan masih lagi berbaki. Belum terlambat untuk mengganda amal, membaiki taqwa. Ayuh!

Comments (1) »

Program Ramah Mesra Anak Kedah Perlis

(Baca: Program pre-departure anak-anak Kedah-Perlis)

Oghang utagha jemput mai noh!

Comments (1) »

Cahaya tanah Hijaz

Kepala berdenyut-denyut, badan pula terasa lemah, sendi sakit-sakit. Demam. Mungkin akibat penangan cuaca panas di tanah haram. Suhu pada tengahari di tanah Arab hampir mencecah 50 darjah selsius!

Alhamdulillah segalanya selamat. Syukur dapat menjejakkan kaki ke tanah air. Syukur juga diberi sedikit demam seusai pulang, buat habuan pembersih dosa semasa di tanah haram.

Bermukim selama 11 hari di tanah haram merupakan pengalaman yang tak dapat dilupakan. Menyaksikan Baitullah di hadapan mata, juga berada beberapa tapak dari makam Nabi s.a.w., bersolat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi merupakan nikmat yang tak terperi hebatnya. Terbayang ‘kelibat’ Nabi dan juga para sahabat yang hari demi hari meredah kepanasan tanah tandus untuk hanya satu tujuan; memastikan manusia dipancar sinar aqidah dan dibuang segala pintu kesyirikan.

Masjid nombor satu dan dua dunia itu sesak dengan jutaan manusia dari segenap pelusuk dunia. Pelbagai stail, ragam, cara solat dan ibadah juga fiil kelihatan. Sungguh islam agama universal.

Moga ziarah pendek ini bukan yang terakhir. Harap-harapnya dimurahkan rezeki untuk bertandang ke sana lagi. Kuserahkan segala amalan dengan harapanku diterima semuanya. Amin.

IMG_0841

Masjid Quba'; masjid pertama dibina Nabi s.a.w sebelum tiba di Madinah

Bukit Uhud; di sinilah berlakunya Perang Uhud. Sebahagian tentera Islam tidak mematuhi arahan Nabi, sekaligus menyebabkan ramai tentera Islam terkorban (syahid)

Bukit Uhud; di sinilah berlakunya Perang Uhud. Sebahagian tentera Islam tidak mematuhi arahan Nabi, sekaligus menyebabkan ramai tentera Islam terkorban (syahid)

Gua Thur terletak betul-betul di atas puncak Bukit Thur. Perjalanan ke Gua Thur mengambil masa kira-kira dua jam bagi seorang muda yang sihat.

Gua Thur terletak betul-betul di atas puncak Bukit Thur. Perjalanan ke Gua Thur mengambil masa kira-kira dua jam bagi seorang muda yang sihat.

Anak panah merah menunjukkan kedudukan Gua Thur. Bayangkan Asma' Abu Bakar yang naik turun dalam keadaan hamil 8 bulan untuk membawa bekalan makanan kepada bapa dan Nabi. Subhanallah.

Anak panah merah menunjukkan kedudukan Gua Thur. Bayangkan Asma' Abu Bakar yang naik turun dalam keadaan hamil 8 bulan untuk membawa bekalan makanan kepada bapa dan Nabi. Subhanallah.

Leave a comment »

Pergi tak kembali

Kematian itu merupakan tazkirah terbaik untuk manusia. Kita disunatkan untuk menziarahi orang sakit, kubur, juga orang yang sering mengingati mati dianggap sebagai orang yang paling bijak.

Atuk sememangnya sudah berumur. 86 tahun sedari tahun 1923 dilahirkan. Zaman demi zaman beliau tatap dengan perit sebuah kehidupan. Zaman komunis, pra-merdeka, pasca-merdeka dan zaman ICT, semua atuk lalui. Pengalaman hidup beliau tak dapat disangkal. Sembilan orang anak dengan ayahku yang ke enam. Berpagian ke kebun getah dengan alat toreh di tangan satu kemestian bagi sembilan beradik ini. Ke sekolah dengan bau dan lekatan getah di tangan sudah dilazimi. Kini anak-anak atuk senang semuanya. Alhamdulillah.

Khabaran dari pak cik saudaraku kepada ayah yang mengatakan bahawa atuk sudah kelihatan ‘lain’ dan saranan untuk pulang ke kampung, menjemput kami pulang pada petang itu juga. Lima jam memecut kereta dari Sungai Petani ke Nilai. Tiba di rumah sekitar jam 1 pagi dengan keadaan atuk yang tidak sedarkan diri. Mulut kering dan dada turun naik kencang. Nafas laju dan denyutan jantung sangat irrregular dan lemah. Atuk sedang bertarung dengan sakaratul maut. Terbayang aku bagaimana suatu hari nanti aku juga akan menghadapi saat yang sama.

Baru sekadar baring-baring, ayah dan pakcik saudaraku sedikit riuh. Kubingkas bangun dan memang aku menjangkakan bahawa atuk sudah mahu pergi. Nafas sudah perlahan. Anak-anak mengelilinginya dengan menyebut-nyebut kalimah Lailahaillah di sisi cuping. Keadaan kian mendung dengan esakan emak-emak saudaraku. Yang lelakinya juga sudah berkaca-kaca mata mereka. Sekitar jam 2.30 pagi hari selasa atuk pergi buat selamanya. Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Kini ayahku anak yatim piatu. Nenek telah lama meninggal akibat masalah buah pinggang. Aku sendiri tidak ingat akan rupa paras beliau. Terlalu kecil ketika itu.

Bacaan Quran dan tahlil terus menerus sehingga pagi. Apa yang mengharukan adalah jenazah diuruskan semuanya oleh anak-anak. Bermula dari mandi, kapan, solat jenazah dan urusan pengebumian. Ayahku sendiri yang mengimamkan solat jenazah biarpun beliau terasa agak kekok. Ini kali pertama aku melihat jenazah dihambat sakarul maut, saat nyawa dicabut dan urusan pengebumian di kuburan. Semoga pengalaman ini menjadi tazkirah terhebat buat diriku. Ulama sering berpesan apabila melihat kematian, renungkanlah saat kematian diri sendiri.

Moga Allahyarham (1923-2009) ditempatkan bersama orang-orang soleh. Atas asbab kehadiran beliau ke dunia, maka lahirlah ayah dan juga diriku.

Comments (2) »

Hinggap #5

Sudah lima minggu blog tidak dikemaskini. Saya menuding jari ke arah diri sendiri.

Bukan apa, ide dan rasa mahu menulis terpadam sebentar.

Kini sudah 3 minggu di Malaysia, menghabiskan masa bersama keluarga. Alhamdulillah sempat mengendalikan program sehari di Sek. Men. Sains Mohammad Jiwa dan baru pulang dari daurah.

Insya-Allah saya, kedua orang tua saya, atuk dan nenek serta 3 keluarga jiran akan ke Tanah Haram minggu hadapan. Doakan kami dimudahkan perjalanan, segala urusan dan mudah-mudahan diterima amalan. Sungguh Allahlah yang telah mengatur segalanya. Pembatalan umrah dan ziarah bersama sahabat dari UK tempoh hari diganti Allah dengan rombongan dari Malaysia. Syukur.

Sebagai renungan, mari kita hayati kata-kata dari Syeikh Ibn Ata’illah (sumber: Majalah Solusi, Isu 4)

‘Jangan sampai terasa bagimu kebesaran sesuatu dosa itu, hingga merintangimu daripada bersangka baik kepada Allah Taala, sebab barangsiapa yang benar-benar mengenal Allah akan merasa kecil dosanya apabila dibandingkan dengan keluasan rahmat-Nya.’

Peringkat Dosa

Peringkat Dosa

Jangan biarkan dosa yang menjadi resah di hati bertukar kepada seronok dan puas apabila mengerjakannya. Bertaubatlah selagi hati diketuk gelisah tatkala melakukan dosa. Sebesar-besar dosa seorang hamba, besar lagi rahmat dan sifat pengampun Allah.

Comments (1) »

Kembara Cardiff-Turki 2: Istanbul bandar jutaan kubah

Kota Istanbul penuh sejarah ini terletak antara dua benua; Asia dan Eropah. Istanbul sangat kaya dengan ribuan masjidnya. Diceritakan Istanbul sahaja terdapat kira-kira dua ribu masjid. Tidak pasti benar atau tidak akan angka itu. Pokoknya memang banyak. Apabila anda berdiri di suatu sudut Istanbul, Eminönü  yang berada di pinggiran Goldern Horn contohnya anda akan dapat melihat lima buah masjid sekaligus dan setiap satunya bersaiz kira-kira sebesar Masjid Putrajaya! Rasa rindu mendengar suara azan di angkasa terubat sungguh di Istanbul. Tatkala masuk waktu solat, pelbagai stail azan akan kedengaran bersahut-sahutan. Biarpun banyak masjid, bilangan jemaah pada setiap kali solat boleh tahan bilangannya. Siapa kata orang Turki sekular? Read the rest of this entry »

Comments (2) »

Membina iklim sangka baik

Serendah-rendah martabat ukhwah adalah bersangka baik sementara setinggi-tinggi darjat ukhwah adalah melebihkan kepentingan sahabat berbanding diri sendiri, atau ithar. Selalu kita jaja kepada kawan-kawan dan orang lain supaya jangan bersangka buruk, malahan perlu sentiasa husnuz zon.

“Eh, hang ni cubalah sangka baik sikit, dosa tuh bersangka buruk”, “Saya tak peduli apa orang cakap, mulut orang mana boleh tutup”, “Orang sekarang ni tak habis-habis prejudis, buat ini salah, buat itu salah”, “Kami sembang-sembang je, bukan buat apa pun”. Mungkin kata-kata ini selalu kita dengar dari bicara orang kebanyakan.

Secantik namanya Islam, agama yang hanya diterima Allah ini mengajar kita supaya bertindak secara ’saling’. Kalau lelaki lebih diingatkan agar mengawal pandangan, Allah juga berpesan kepada wanita agar menutup aurat. Andai Allah menyuruh si suami berlaku adil kepada isterinya, isteri pula diseru agar taat kepada suami, dan banyak lagi contoh ‘kerjasama’ dan simbiosis dalam kehidupan beragama.

Sering kita menyuruh orang agar tidak bersangka buruk, tapi kita lupa kadangkala untuk menghindarkan diri kita dari keadaan yang mengundang kepada sangka buruk manusia.

Diceritakan dari sebuah hadis sahih ringkasannya begini (sumber Ustaz Zaharudin):

Suatu malam, Rasulullah s.a.w sedang beriktikaf di masjid bilamana Safiyyah, isteri baginda bertandang ke masjid bagi membincangkan sesuatu bersama Rasulullah. Malam itu bukan giliran Safiyyah, sebaliknya giliran isteri baginda yang lain, lantas Nabi dengan sifat adilnya meminta Safiyyah menangguhkan perbincangan pada ketika gilirannya. Disebabkan malam sudah pekat, maka Nabi mengiring perjalanan Safiyyah pulang ke rumah. Dalam perjalanan mereka dalam malam yang pekat itu, dua orang Ansar ternampak Rasulullah bersama seorang perempuan (Safiyyah) yang tidak mereka kenali. Lantas dua sahabat ini mempercepat langkah mereka memesong ke arah lain. Nabi ternampak akan hal itu lalu memanggil kedua-dua mereka. Nabi kemudiannya menerangkan bahawa wanita itu adalah Safiyyah, isterinya. Dua sahabat tadi menjelaskan bahawa mereka sememangnya tidak bersangka buruk terhadap Rasul kekasih Allah itu. Lantas Nabi menjawab (lebih kurang); “Aku tahu kamu tidak bersangka buruk terhadapku, tetapi aku risau bahawa syaitan akan melontarkan prasangka buruk dalam hati kamu”.

Iktibar dari hadis ini adalah jangan kita menyalahkan orang lain yang bersangka buruk terhadap kita, seandainya kita sendiri yang meletakkan diri dalam undangan sangka buruk manusia. Nabi mengajar kita  untuk menjauhi lubang-lubang fitnah sedaya boleh. Peringatan buat diri sendiri dan kalian. Wallahualam.

Leave a comment »

Selamat musim panas!

Summer menjelang lagi. Bukan masalah kepanasan. Orang Asia yang memang telah merasai panas sejak lahir memang tak janggal dengan kepanasan. Namun mata ini yang panas, sangat mencabar untuk dipelihara. Keluar saja rumah, aduh.

Panas sangat gamaknya sampai yang lelaki tak berbaju, yang perempuan sejarang, senipis dan sekurang mungkin. Bukan salah mereka. Agama mereka tidak mencegah itu. Tapi cabarannya balik pada kita.

Suka cuplik kata seorang sahabat dari Manchester, lebih kurang; “Kalau perempuan diberi sehari untuk menjadi lelaki, pasti perempuan akan tutup aurat mereka sebaik mungkin”. Haha.

Di bawah ada doa yang diajar seorang ustaz di Cardiff tatkala melihat mihnah di depan mata, moga kita boleh amal dan diberi kekuatan untuk menjaga seluruh pancaindera kita. Ameen.

اللهم اني أعو ذبك من فتنة النساء و عذب النار

(Allahumma inni a’uzubika min fitnatin nisaa’ wa ‘azabinnaar)

Ya Allah ya Tuhanku, aku berlindung dari fitnah perempuan dan azab api neraka

kredit

Selamat pulang bagi mereka yang pulang, selamat pulang jua kepada yang pulang terus ke tanah air. Selamat berjuang bagi yang tidak pulang. Yang tak pulang-pulang, tanah air telah memanggil. :P

Leave a comment »

Hinggap #4

Selesai urusan di bandar. Cuaca sangat panas. Tak kurang bahangnya dengan terik di tanah air.

Elok sahaja melintas jalan, ada seorang pakcik rebah, tanganya menggapai lampu isyarat di sebelahnya. Di tangannya dijinjing beg kertas macam baru selesai membeli pakaian. Tanpa fikir panjang, aku segera ke arah pak cik itu sambil bertanya, “Are you alright sir?” Tiada balasan.

Tangannya cuba mengenakan cermin mata yang tersasar dari rangka hidung. Aku cuba menolong. Aku tanya lagi soalan yang sama. Kali ini tambah beberapa soalan. “Are you in any pain sir? Headache?” Macam history taking pula jadinya. Haha. Apa-apalah. Apa yang terlintas di benakku mungkin pakcik ini angina (walaupun tangannya tak mengusap-usap dadanya) atau sakit kepala nak pitam. Kalau ya, mungkin aku boleh cari ubat dalam poketnya atau tindakan lain yang sesuai. Itu sebab soalan itu ditanya.

Tapi kaget mendengar jawapannya:

“Haha. I’m alright. Too much of drinking. haha”, sambil raut muka (baru) menampakkan kemabukan.

Baru ingat nak jadi first aider.

******

Pesanan untuk Muslim:

Hadis riwayat Ibnu Umar ra., ia berkata, Rasulullah saw. bersabda: Setiap minuman yang memabukkan adalah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram. Barang siapa minum khamar di dunia lalu ia mati dalam keadaan masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka ia tidak akan dapat meminumnya di akhirat (di syurga). (Sahih Muslim)

Leave a comment »