September 27, 2008
· Filed under Peristiwa
(Latar: Lagu raya Dendang Perantau oleh Tan Sri P.Ramlee beralun penuh syahdu)
“Sedih benar saya ni bang. Huh, harap saja anak sampai tiga orang. Raya-raya begini, sorang pun tak ada di rumah”, keluh Mak Su Anjang kepada Pak Su Janggut. Pak Su Janggut diam bersahaja. Remuk juga hatinya memikirkan nasib mereka berdua pada hari yang penuh kemuliaan itu. Hati ibubapa mana yang tak meronta apabila bertemu situasi sedemikan rupa. “Bukan mereka saja-saja, masing-masing ada tugas, nak buat macam mana”, Jawab sang suami lambat. Dia tahu jawapan itu tidak cukup untuk menenangkan hati isterinya yang penuh lara itu.
********** Read the rest of this entry »
September 24, 2008
· Filed under Luahan
Pagi yang dingin. Burung Seagull yang sukar ditemui di Malaysia berterbangan riang sambil memuji Tuhannya. Hembus angin terasa juga ke tulang sumsum. Mungkin kejutan akibat panas Asia yang sekian lamanya. Hari-hari di Cardiff tidak banyak bezanya sejak tiga bulan lalu. Rasa rindu beralih arah. Teringat kampung halaman (baca: bandar) pula. Manusia memang pelik.
Sudah hampir seminggu ku berada di bumi penjajah ini. Ramadhan tidak sama seperti di bumi sendiri. Malah cabaran membukit. Mata jenuh ditahan-tahan. Kiri, kanan, depan, belakang sama saja. Lautan manusia tidak berTuhan. Moga puasaku tidak seperti yang disifatkan Nabi sebagai menahan lapar dan dahaga sahaja. Read the rest of this entry »
September 16, 2008
· Filed under Peringatan
“Meluat betul aku tengok Endut tu, dah solat tunggulah imam wirid sekali, ini tidak, samalah dengan si Usin, Hamid dan Musa tu”, keluh Pak Su Janggut sambil berjalan menuju motor kapcainya.
Kassim diam menikus. Ada rona jengkel di keningnya.
“Hairan betul aku tengok puak-puak wahabi ni lah, bulan ramadan ni tambah-tambahlah amalan. Ini tidak, semua dibidaahkannya” gumam Pak Su Janggut sambil mencebik mulut.
“Pak Su, biarkan je la diorang, kurang-kurang nak juga jenguk ke masjid, hah beribu lagi kat luar tu yang tak ke masjid, yang tak solat belum kira lagi, yang tu kita perlu risaukan Pak Su”, kali ini Kassim bersuara. “Wirid tu sunat Pak Su, kita yang mengata ni silap-silap jatuh dosa mengumpat”. Pak Su tersentak. Dalam diam dia membenarkan kata-kata Kassim itu. Tiba-tiba dia terkenangkan tiga orang anaknya. Kalau tak disuruh, jangan harap nak bentang sejadah. Masjid? Mujur ada solat jumaat. Kalau tak, tunggu nikah sajalah jawabnya. Ada tanda-tanda kerisauan terpancar di mukanya yang berkedut itu. Kassim tersenyum merasakan hujahnya berjaya menewaskan teman masjidnya itu.
Pak Su Janggut pulang dengan ribuan kerut di dahi.
p/s Awasi keburukan dalam kebaikan. Berlapang dada dalam perbezaan. Selamat berpuasa.
September 11, 2008
· Filed under Ilham
(pesan pada diri sendiri)
sepertiga yang pergi, takkan kembali
dua pertiga menyusul, terus menguji
rahmat berlalu, maghfirah berganti
bulan ramadhan bertambah erti
sepertiga telah pergi, usah ditangisi
cepat sungguh masa mengisi
bukan ia mencemburui
kerana manusia yang tak hargai
(pesan pada diri)
puasa makin lesu
terawih kian layu
bazar tambah himpit
nafsu makin rempit
dua pertiga yang mengganti
ayuh kuatkan diri
(pesan pada diri)
Read the rest of this entry »
September 6, 2008
· Filed under Peringatan
Ramadhan berdikit-dikit merangkak. Syukur sampai juga ke bulan mulia ini. Moga ramadhan ini yang terbaik sepanjang puluhan tahun jantung berdetak.
Kurang dua minggu lagi, percutian tiga purnama makin melabuh tirai. Kembali berjuang di dunia sebenar. Hiruk-pikuk iftar di Al-Manar juga di Isra’ (masjid di Cardiff) terngiang-ngiang di telinga. Alunan ayat-ayat Tuhan slanga Arab pure juga menghentak gendang telinga. Panggilan brother bagi yang kenal mahupun tidak merapatkan ukhwah. Sememangnya muslim itu bersaudara. Entah mengapa rasa persaudaraan islam di sana amat terasa biarpun populasi tidak ramai. Di bumi sendiri, buihnya Muslim, hilang rasa bersaudara angkara musuh-memusuhi dan entah apa-apa lagi fikrah dan ideologi masing-masing.
Rakan-rakan di Eire dan UK sudah ada yang pulang, ramai akan menyusul. Ada yang sempat beraya di bumi sendiri, ramainya tidak. Apa-apapun, Ramadhan perlu diutamakan. Meskipun kebab, baguette (baca: beget) dan nasi berkuahkan kicap menu utama pada hari lebaran, itu sudah memadai biarpun lemang dan ketupat payah nak dicari. Untung sabut, merasalah.
Pastinya muslim yang untung itu adalah yang bertambah baik dari yang sebelumnya. Setahun berlalu, pelbagai perkara dipelajari. Belajar dari kesalahan, sangat perlu. Bagi yang mahu pulang untuk meneruskan jihad, pulanglah dengan semangat baru juga jernih iman hasil tarbiyah ramadhan. Bagi adik-adik yang baru nak meninggalkan rumah beribu batu ahlan wasahlan diucapkan. Selimutkan diri anda dengan duvet iman hasil tenunan ramadhan. Walaupun sibuk mengemas bekalan kembara, jangan lupa mengemas bekalan hati dan jiwa. Biar tertinggal bagasi muatan 20 kilo, jangan tertinggal bagasi jiwa walaupun segram.
Packing List:
- Compass niat (pastikan jarum sentiasa ke utara)
- Passport iman (mesti update)
- Jaket Aqidah (kalis segala cuaca)
- Visa Ibadah (pastikan sah dan elok)
- Sepasang dada (yang lapang)
- Pakaian akhlak (jangan koyak)
- Kasut usaha (pastikan kuat)
- Selimut syukur (cukup tebal)
- Segenggam tabah (erat-erat)
- Bodyguard doa dan tawakal (sentiasa bersamanya)

Selamat kembali ke sekolah!