October 29, 2008
· Filed under Kembara

Kehebatan bumi Turkiye bukan hanya terletak pada gelecekan Hakan Şükür mahupun tempis layang Rüstü Reçber. Gah bumi ini lebih hebat dari itu.
Sudah pastilah sesuatu tamadun itu hebat kerana Islam. Begitu juga Turki, sehebat namanya yang pernah menempa khilafah Uthmaniyyah selama ratusan tahun.
Kembara ke bumi sejarah Turki, menelusuri kepahlawanan Sultan Muhammad Al-Fateh dan sebaik-baik tentera yang dijanjikan Tuhan.
Sultan Muhammad Fateh dan Kamal Attartuk. Dua watak yang berlawanan sungguh sifatnya. Seorang disifatkan Khaliq sebagai sejaguh-jaguh panglima tentera, manakala seorang lagi pembawa sekularisme di bumi suci itu.
Jatuhnya Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah selepas Perang Dunia I menelungkupkan khilafah yang telah terbina atas keutuhan aqidah mujahid silam. Sehingga kini, khilafah yang terkulai masih belum mampu tegak berdiri.
Menyahut seruan ayat sebelas surah An-Naam, “Berjalanlah kamu di atas muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu,” lapan ikhwah Cardiff akan terbang jauh ke bumi Constantinople pada musim sejuk ini. InsyaAllah. Doakan kami.
Mudah-mudahan kembara kami ke bumi Al-Fateh ini setidak-tidaknya meremangkan roma perjuangan, meneladani iktibar atas jatuh bangkitnya sesebuah tamadun.
Sesungguhnya tamadun itu tidak tertegak dengan hanya kekuatan tentera, tetapi besarnya jiwa biarpun kecilnya jasad!

*sebarang kemusykilan boleh berhubung dengan jawatankuasa kelola untuk mendapat nasihat kelolaan jaulah.
azad (azad282@yahoo.co.uk) atau syafeeq (addawami@yahoo.com.sg)
October 22, 2008
· Filed under Ilham

Kerja masak-memasak memang sudah jadi lumrah bagi bujang-bujang kembara ilmu, tak kira yang di dalam negara mahupun di luar. Dengan sifar ilmu memasak, berbekalkan tips campak-campak, kerja memasak lama-kelamaan bukan suatu yang menyukarkan. Malah, boleh jadi sesuatu yang menarik dan yang paling penting, kepuasan hati (dan juga perut
). Bagi yang sudah punya basic, bertambahlah kemahiran dan juga menu di kepala. Dari melompat-lompat ketika menggoreng ikan, sekarang sudah mampu menahan percikan minyak. Dari menitis-nitis air mata sedih lantaran merahnya bawang, kini sudah kebal (benarkah? :p). Dari ayam kicap, naik taraf kepada ayam masala. Tak hairan juga ada yang mampu memasak menu-menu yang selama ini dirasakan sukar seperti laksa, kek, mee rebus, malahan sate. Suatu pencapaian yang membanggakan dan mengkagumkan. Orang Inggeris bilang, from zero to hero. Dari sifar kepada pendekar. Memang benar. Ini salah satu hikmah musafir ilmu. Meskipun rasa masakan tidak sesedap Chef Wan atau Chef Ismail, masakan perlu dan mesti dihias dengan sedikit perahan rohani.
Rahsia memasak terulung (biarpun belum tentu sedap):
1. Tumisan ikhlas
2. Belahan bismillah
3. Sepotong selawat
4. Hirisan kasih sayang

Mudah saja, apa-apa saja yang anda ingin masak, pastikan ramuan di atas tak dilupakan. Ketahuilah, memasak dengan ingatan untuk memudahkan si pemakannya untuk beribadah, akan diganjarkan Tuhan dengan sebaik-baiknya, sebanyak kuah dan butiran nasi yang dicerna usus. Inilah kepuasan sebenar memasak! Selamat mencuba.
p/s Maafkan daku, jika selama ini masakan kurang memberangsangkan. Maklumlah, budak baru belajar.
October 20, 2008
· Filed under Luahan

Jalan Pulang itu dagang. Itu kata Nabi. Kata Nabi pasti akan terjadi. Kerana baginda tidak akan menghambur sesuka hati tanpa Tuhan yang menyuruh.
Pulang mencari Tuhan. Malang tak jumpa-jumpa. Malah sesat pula. Jalan pulang itu satu, bayangan saja yang nampak berbilang.
Jalan pulang itu lurus. Tapi manusiakan suka yang bengkang-bengkok. Yang banyak simpang-siur. Memang fiil manusia begitu.
Read the rest of this entry »
October 12, 2008
· Filed under Kembara
Tuhan memang Maha Pemurah. Jika kegembiraan Ramadhan adalah pada berbuka puasa, syawal pula pada terbukanya rumah-rumah (ini bukan sandaran hadis). Sudah nama pun terbuka, kami yang memang sentiasa terbuka ini menerima dengan hati terbuka jemputan rumah-rumah terbuka. Biarpun terpaksa meredah kepulauan British ini selama lebih tiga jam.
Terima kasih tak terhingga kepada ‘Mancunian’ atas layanan makanan yang menggemukkan. (Alhamdulillah)
Juga kepada tuan rumah yang sudi menerima kedatangan kami ini. (Ben, Pak Lah, Nazir, Tupa, Yazid, Hassan, Alif, Mazai) Terima kasih sekali lagi.
Moga Tuhan membalas jasa kalian secukupnya.

Read the rest of this entry »
October 9, 2008
· Filed under Peribadi
Syawal bergerak pantas. Siang makin pendek. Angin terus dingin. Diri tambah sibuk. Beban kian sarat.
Hidup perlu terus. Kerana masih banyak ruang. Selagi Tuhan belum memanggil.
Syawal kedua versi perantau memang tak sama seperti di bumi sendiri. Syawal dalam dingin. Terima kasih pada abang-abang postgrad yang menjemput kami makan. Semut memang pantang jumpa gula.
Terima kasih melangit tinggi. Ada masa panggil lagi.
Tolong doakan musafir ilmu di sini. Makin hari makin payah. Makin melambak hafalan. Memang payah rupanya nak jadi tabib ni. Doa anda amat berharga. Kerana kita tidak pasti doa siapa yang makbul.
******
Di bawah gambar teratak buruk kami. Ada masa datang-datanglah menghirup secawan kopi.

74 Salisbury Road, Cathays, Cardiff

Rumah impian; edited by Rafie