Hujung minggu lagi. Kesempatan dua hari inilah yang membuatkan ramai mengulum senyum. Tiada kuliah, tiada lab, tiada segala-galanya yang berkait secara terus dengan pembelajaran formal. Lebih-lebih lagi bagi sistem pembelajaran universiti yang tiada hentinya melainkan dua hari ini. Hujung minggulah masa hendak berehat, masa menambah ilmu bekalan kubur, berukhwah, mengisi kembali peti ais yang terang, mengemas rumah, masa itu dan ini. Terkadang, hujung minggu lebih sibuk dari hari-hari biasa. Tapi andai dapat diisi dengan perkara yang bermanfaat alangkah tingginya nilai masa yang sangat sekejap itu.
Hujung minggu ini sama seperti hujung minggu sebelumnya, sejuk bangat. Suhu menghampiri takat beku, sekitar 1-3 degree selsius. Cuma belum masanya untuk salji turun. Sungguhpun begitu, masih juga berkain pelikat untuk keluar (dekat-dekatlah). Apalah melayu tanpa pelikat!
Syukur, hari Sabtu yang lalu warga Cardiff dan beberapa rakan di tempat-tempat lain yang berhampiran berpeluang untuk berdiskusi mengenai ISK, Ini Sejarah Kita. Alhamdulillah semua berjalan lancar, dengan perkongsian ilmu dan perbincangan yang menyihatkan. Terima kasih kepada semua yang berkongsi. Harap pengajarannya jangan hanya ditinggal di ruang masjid, jadi aura yang melekat di dinding. Bawalah ia keluar dan terpancar dalam diri. Hari ahad pula berkesempatan bersama Ustaz Anuar dengan fiqh qurban. Ustaz yang sangat mesra rakyat!
Cuma hati saya tersentuh seketika kerana pada Sabtu itu, di tempat yang sama, ada rupa-rupanya hamba Allah yang baru ketemu siapa Tuhannya. Di Darul Isra tempat kami berkumpul, ada seorang hamba Allah, yang berasal dari Mozambique menyatakan kalimah teragung itu. Bergetar juga hati melihat hari yang bersejarah bagi brother itu. Mana tidaknya, hari di mana terhapusnya syirik, dan terangkatnya akidah! Titik tolak antara neraka selamanya atau peluang ke syurga! MasyaAllah. Ini kali pertama saya melihat dengan mata kepala sendiri seseorang menyatakan keislamannya. Tersedu sedan brother Mario menahan sebaknya, dipujuk beberapa sheikh yang lain. Jelas kelihatan bagaimana gembiranya brother itu, gembira kerana dipilih antara jutaan manusia lain yang masih belum ketemu jalan pulang. Allah. Allah.
Saya berpeluang untuk bersalaman dan berpelukan dengannya dan sempat saya berkata kepadanya, “Welcome to Muslem brotherhood“. Sayu sungguh petang Sabtu itu. Brother tersebut disambut seperti raja sehari dalam majlis penuh bersejarah itu, diketuai Sheikh Samih dan beberapa yang lain. Masing-masing bergenang air mata, lantaran syukur tak terkata.
Saat melihat upacara itu, saya monolog sendirian, “Jangan terkejut, kalau nanti brother itu lebih Islam dari engkau! Walaupun engkau sudah kenal Tuhan 20 tahun lebih lamanya!
Moga islam dalam darah ini bukan semata warisan. Iman bukan genetik.






