Sungguh hidayah itu milik Allah. Hati manusia juga rapat di tangan Allah. Tiada yang terpantas pergerakannya melainkan hati, hatta cahaya pun tak mampu mengatasinya. Demikian kata-kata seorang ustaz. Ustaz yang mana satu pun sudah tidak teringat. Hati manusia cukup pantas terkalih seperti mana dua jari yang diputarbalikkan.
Allah. Banyak sungguh dosa diri ini. Bila hidayah ditarik, sehebat-hebat manusia terus tersembam. Bila hidayah dipercik, sejahat-jahat manusia boleh jadi malaikat. Apatah lagi yang turun naik ini, sekali tersadung, tersembam tak terkata.
Banyak kisah-kisah terdahulu yang kita dengar, sealim-alim manusia yang buruk kesudahannya. Ada abid yang hebat amalannya, digoda wanita berkali-kali terus melakukakan zina. Ada abid yang seumur hidup tak lekang amal soleh, bila di akhirat, dicampak amalan lantaran riak.
Ada juga seburuk-buruk amalan manusia yang baik pengakhirannya. Hanya kerana satu dua amalan baik di dunia. Ada yang masuk syurga hanya kerana ihsan pada anjing, lalu diberi makan. Ada yang membunuh hingga seratus manusia, tetapi kerana taubatnya yang telus, dicampak ke syurga. Juga pelbagai lagi kisah-kisah terkemudian. Semuanya sebagai pedoman untuk manusia.
Subhanallah. Bagaimana pengakhiran kita? Memang tak boleh dijangkakan. Moga Allah terus beri hidayah. Risau seandainya, satu hari hidayah hilang tak kunjung-kunjung semula. Oleh itu, jangan sekali-kali berasa diri beriman dari yang lain. Sebab sekecil-kecil amalan kita adalah percikan izin dan tempias hidayah Tuhan. Jangan diremeh amalan kecil, kerana mungkin itu yang Allah redha. Jangan pandang enteng dosa kecil, kerana mungkin itu yang dipandang setinggi- tinggi murka.
*******
Maafkanku Tuhan. Sebab hati ini terlalu lemah. Cepat sangat terkalih. Bila hidayah hilang, aku jadi seteruk-teruk manusia. Jadi syaitan barangkali.
Manusia memang sering mungkir janji, walau seribu kali diulang, takkan tempuh lagi.
Allah tolong beri kekuatan.

dayah.habil said,
November 5, 2008 @ 12:46 am
Sekadar perkongsian,
“Sungguh, (ayat-ayat) ini adalah peringatan, maka barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya. Tetapi kamu TIDAK MAMPU (menempuh jalan itu), kecuali apabila DIKEHENDAKI ALLAH.Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.” [29-30:76]
Doalah moga2 tsabat di jalanNya