Hujung minggu. Angin Artik bertiup lagi ke arah kepulauan Inggeris ini. Sejuk memang sampai menggetarkan tulang-temulang. Sang suria malas-malas menjengah. Sang awan rajin pula menyiram-nyiram. Manusia? Malas-malas berselubung lena. (Bukan semua, ada juga yang rajin-rajin)
Lama rasanya tidak menaip sesuatu sekurang-kurangnya sebagai peringatan bersama. Mungkinkah sebab masih belum melanggar mangsa kedua? (rujuk entri sebelum ini) atau tidak ada apa-apa yang menarik berlaku akhir-akhir ini? Mungkin kerana kesuntukan masa dan tak dapat dinafikan idea yang tak kunjung tiba.
Basikal tua yang pernah melanggar dan dilanggar itu sudah pun tamat riwayatnya. Entah siapa yang berkenan sangat dengan tayar belakang yang bersalut karat itu pun tidak dapat dipastikan. Biarlah. Sudah berbaloi pun. Banyak jasa basikal tua itu. Sudah dikayuh sejauh ASDA juga Cardiff Bay (4km tidaklah jauh mana). Sudah melanggar orang (astaghfirullah). Sudah mengoyakkan seluar. Sudah menghitamkan tangan. Juga beberapa kali terkeluar tayar belakang ketika sedang mengayuh! (jangan tak percaya). Banyak sungguh pengalaman suka duka bersama basikal itu. Kini hanya tinggal kenangan. Semuanya milik Allah. Yang datang akan pergi. Yang hilang tumbuh berganti. Biarkan ia pergi, usah dikesalkan.
Biarpun tidak ada apa-apa yang spesifik untuk diceritakan pada kali ini, mari kita renungkan sebentar hadis di bawah, sebagai menyahut seruan Nabi untuk menyampaikan darinya biarpun seayat.
Hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:
“Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang mukmin: Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya, dan jika dia ditimpa kemudharatan, dia bersabar, maka itu baik baginya.”
(Hadith Riwayat Muslim)
[dipetik dari blog Akhi Salehudin, naqib yang banyak tunjuk ajar]
Susah mana pun seorang mukmin, pasti jiwa tak kan sesak. Mukmin kan sentiasa berjiwa besar. Namun itu tidak semudah menyebutnya. Jom, kita usaha untuk berjiwa besar!
