Archive for December, 2008

Suara keramat?

Demonstrasi jalanan sering dikaitkan dengan keganasan, emosi menyala-nyala, baling-baling batu, dan kibaran poster serta sepanduk. Sekiranya di Malaysia, polis akan kata, jangan.
Signifikan atau tidak sesuatu demonstrasi bergantung pada pelaksanaannya. Di sesetengah tempat demonstrasi jalanan seolah-olah tidak diberi ruang walaupun sesuatu demonstrasi itu dilaksanakan se’bersih’ mana sekalipun.
Ada orang kata demonstrasi tidak membawa sebarang faedah. Bukan budaya ‘kita’ dan tak kurang juga ramai yang menyetujuinya.
Malam 31 Disember 2008 tepat jam 5, satu demonstrasi untuk membangkitkan kesedaran masyarakat tentang keganasan Israel terhadap rakyat Palestin telah diadakan di Queen Street, Cardiff. Saya yakin pada waktu yang sama banyak lagi demonstrasi yang dianjurkan di tempat-tempat lain.
Anda bersetuju atau tidak dengan cara ini, terpulang kepada anda.
Biar gambar di bawah menjelaskan keadaan pada malam tersebut. (semestinya tidak berlaku seperti apa yang saya sifatkan pada ayat pertama perenggan atas, kecuali sepanduk)

img_0015

img_0020

img_0025

img_0022

img_0018

img_00221

Biarpun suhu di bawah takat beku (-2 darjah selsius), bahangnya amat terasa. Nampaknya bukan muslim juga menentang kezaliman Israel.

Teruskan berdoa, kerana doa itu senjata bagi orang mukmin.

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata: “Apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaknya imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang dibelakangnya. ” (Al-Mughni 1/450)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: “Di kalangan ulama ada tiga pendapat tentang qunut. Yang paling benar dari tiga pendapat tersebut, qunut disunnahkan ketika ada keperluan.،¨ (Taudhih Al-Ahkam).

Contoh bacaan qunut nazilah yang biasa (Lafaz ini bukan dari Nabi SAW, justeru ada kelonggaran dalam lafaz)

اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم اللهم بَدِّد شَملَهُم و

فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباَ مِن كِلاَبِكَ يا

قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم يا الله يا الله يا الله

اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ إِهزِمهُم إِهزِمهُم

إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka. Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka. Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka. Wahai tuhan yang gagah perkasa. Wahai Tuhan yang penuh raksasa. Wahai Tuhan yang bersifat murka. Ya Allah Ya Allah Ya Allah Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Wahai Tuhan yang mengarakkan awan. Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab. Kalahkan mereka. Kalahkan mereka. Kalahkan mereka. Dan menangkan kami ke atas mereka.

(Dipetik dari blog ini)

Selamat tahun baru Hijrah 1430 dan tahun baru masihi 2009.

Mereka sudah ramai yang syahid, melangkah ke syurga tanpa hisab. Kita?

Comments (2) »

Jom Peduli!

Nak ke Gaza dan mengacu senapang?
Nak ke US dan berdiplomasi dengan agen-agen Yahudi itu?
Hendak bersemuka dengan pemimpin negara-negara OIC agar berbuat sesuatu?
Andai tidak mampu pun, tolong hulurkan sedikit bantuan KEWANGAN, titipkan DOA, pohon doa, minta doa, solat hajat.
Ayuh kawan-kawan, bantu sedaya mana yang boleh.
Jangan langsung tidak berbuat apa-apa!
Orang beriman sentiasa peduli akan saudaranya tidak kira di mana.
Berimankah kita?

Tolong klik banner di bawah:

Comments (1) »

Orang Palestin dan Orang sini

(Saat jiwa memberontak)

Orang di Palestin bermain peluru setiap hari
Orang di sini menghilai tawa saban petang dan pagi

Orang di Palestin berjuang antara hidup dan mati
Orang di sini perjuangan apa peduli

Orang-orang Palestin berusaha menyelamatkan anak dan isteri
Orang di sini buat anak orang macam isteri sendiri

Orang Palestin berjihad membebas Al-aqsa
Orang di sini bebas buat apa saja

Orang Palestin bermandi darah hari-hari
Orang di sini bermandi kasih setiap hari

Orang Palestin kering sudah air mata
Orang di sini asyik basah dengan cinta

Orang Palestin dan orang sini
Aqidah yang sama, dunia yang berbeza

Antara syahid, nafsu, syurga dan neraka
Hanya kerana dunia itu bohong semata

*Titipan doa buat pejuang Palestin. Moga Tuhan kurniakan syahid.
Tolong wahai Tuhan, kami perlu hidayah-Mu

Leave a comment »

Kembara Cardiff-Turki: Prolog

Burung kembali ke sarang. Kota kecil Cardiff lesu saja memandangkan ramai penghuninya pulang ke ‘kampung’ barangkali.
Jaulah ke bumi Al-Fateh sekitar sepuluh hari lalu meninggalkan mutiara berharga yang bukan sedikit. Biarpun tenaga banyak dikerah, juga duit poket diperah, kembara penuh ujian itu sangat berbaloi. Pengalaman tidak dapat dicipta, tapi hanya dapat dilalui. Insya-Allah serba sedikit pengalaman, pengajaran dan titipan sejarah akan dirakam di dalam entri seterusnya. Nantikan.

Sedang berusaha mencari peluang untuk memenuhi beban yang melebihi ruang masa ini.

Dari Bursa ke Istanbul

Dari Bursa ke Istanbul

Comments (2) »

Sweet Old Days

Masa yang berlalu memang tak mungkin diulang kembali walaupun emas setinggi Bukit Antarabangsa mahupun helaian ringgit sepanjang Sungai Golok dijadikan pengerasnya. Apa yang mampu, hanyalah sandaran kenangan. Kadang-kadang kita tertawa atau sekurang-kurangnya tersenyum apabila melihat keadaan diri kita pada zaman ‘muda-muda’ dahulu. Menatap kepingan gambar dan fail imej yang disimpan dalam cakera keras sekurang-kurangnya membawa kita kembali ke zaman lampau walaupun pada hakikatnya jasad tidak ke mana-mana. Lebih-lebih lagi seandainya gambar-gambar ‘sweet old days‘ itu ditatap bersama kawan-kawan yang sememangnya jasad mereka juga berada dalam gambar yang sama. Masing-masing mentertawakan keadaan kawan-kawan mereka di dalam gambar tersebut, termasuklah mentertawakan keadaan diri sendiri yang kelihatan amat lain dari zaman kini. Bermula dengan  stail rambut, pakaian, ukur lilit pinggang yang ramping, juga raut wajah yang masih ‘comel’ tanpa kumis dan jambang, juga aksi-aksi budak ‘hingusan’ memang menyebabkan kepala yang tak gatal digaru.

sweet old days

sweet old days

Cuba tanya bapa atau datuk anda, sudah berapa generasi yang mereka lalui, dari zaman rambut afro, baju ketat dengan seluar bell-bottom yang melampau, cermin mata yang hampir sama besar dengan muka, lengan baju yang sudah pendek tapi masih lagi disenteng, sehinggalah zaman hip hop, rambut ala trojan mohawk dan jeans baggy jengkel yang ada sekarang. Kita juga tersenyum sumbing melihat keadaan bapa dan atuk kita semasa muda mereka. Seandainya pada zaman mereka kamera bukanlah alat yang hanya untuk orang kaya, pasti perubahan demi perubahan dapat dilihat dengan beralihnya generasi. Maka memang tak akan berkedip mata menatap satu persatu gambar-gambar sandaran kenangan itu sambil mulut mengulit senyum.

Mungkinkah ayah atau datuk anda berfesyen sebegini dahulu ?

Mungkinkah ayah atau datuk anda berfesyen sebegini dahulu ?

atau ini?

atau ini?

Manusia memang fitrahnya begitu. Sangat mudah terikut-ikut. Kalau pada satu zaman itu semua berseluar ketat dengan pangkal kaki sebesar paha, yang lain akan mengikut. Sama juga halnya, kalau lima orang mula membela ikan Flower Horn, satu kampung akan turut terasa rugi seandainya spesis ikan pelik itu tidak disimpan di rumah. Budak-budak juga begitu. Ada zaman gulinya, gasing, layang-layang, kereta mini Tamiya dan entah apa-apa lagi yang seolah-olahnya menjadi musim, seperti mana musim durian luruh. Tersenyum sendiri kadang-kadang memikirkan masa-masa lalu yang konon sweet itu. Zaman sekarang ini musimnya mungkin ‘anime’, drama Korea, You Tube dan apa-apa lagi yang anda pun semua maklum.

Masa-masa yang berlalu kini hanya mampu diulang tayang. Itupun kalau dirakam dengan kamera atau terimbas di fikiran. Memori zaman lalu yang diputar memang seronok dijadikan bahan untuk tawa dan senyum bersama rakan dan keluarga.

Tetapi persoalannya, mampukah kita tertawa atau sekurang-kurangnya mengulum senyum apabila datangnya saat dipertontonkan setiap desir gerakan kita di Mahsyar kelak?

Ayuh fikir sejenak.

Allah berfirman,”Inilah kitab catatan Kami yang menuturkan kepadamu dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Kami telah menyuruh mencatat apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-Jathiah: 29)

*Maaf kerana entri ini lebih bias kepada apa yang dilalui oleh seorang lelaki. Sebab lelaki itu amat berharga. :P

Comments (6) »