Archive for March, 2009

Kamu Logam!

Allah Maha Pencipta. Sekreatif sang pelukis melakar potret, sang pujangga bermadah puitis, tuk dalang berwayang kulit, si komposer berirama lagu, itu semua hanyalah percikan kreativiti yang Allah beri. Sedari Adam diciptakan sehingga kini, entah berapa bilion agaknya manusia yang Allah telah cipta, dan saya rasa anda mampu bersetuju kiranya saya katakan tiada dua orang pun yang punya raut wajah yang sama, jauh sekali suara dan perawakan. Adapun teori yang mengatakan kita punya tujuh orang di dalam dunia yang memiliki wajah yang sama (tidak pasti sanad dan matan, dengar-dengar sahaja), pasti kesamaan tidak akan sampai kepada 100%. MasyaAllah kreatif kan Allah taala?

Jangan percaya Darwin. Anda Manusia sejak azali
Jangan percaya Darwin. Anda Manusia sejak azali

Begitu juga dengan perwatakan manusia. Tidak sama semuanya, namun ada kemiripan. Kadang-kadang kita tidak mampu menghargai rakan kita yang terlalu serius hidupnya, hanya kerana kita adalah seorang yang periang jenisnya. Kita juga kadang-kadang tidak mampu untuk memahami rakan kita yang pada pandangan kita, tidak teratur. Padahal baginya, sudah cukup teratur. Ini semua adalah kesan daripada perbezaan ciri yang Allah taala telah lengkapkan manusia sejak lahir.
Wajah tidak boleh berubah (kecuali pembedahan plastik), tetapi sikap boleh. Walaubagaimanapun kita seolah-olah telah dibentuk dan diacu untuk berada dalam sesuatu longgokon perwatakan, dan pada kebiasaannya, kita akan terdorong untuk kembali kepada sikap kita yang fitrah. Hipoccrates telah mengelaskan perwatakan manusia kepada empat kelompok. Popular Sanguine, Perfect Melancholy, Powerful Choleric dan Peaceful Phlegmatic. Setelah anda mengetahui anda berada di kelompok mana, anda akan sedari betapa berharganya diri anda dan lebih penting anda dapat menghargai sikap dan tabiat orang lain.
Tidak ada suatu kumpulan personaliti pun yang lebih baik atau buruk daripada yang lain. Masing-masing punya kekuatan dan kelemahan masing-masing. sekiranya anda tahu kelemahan anda, perbaiki diri dan andai anda sedar kelebihan anda, manipulasikan untuk kebaikan. Jadilah seperti logam!

Beriang ria bersama Popular Sanguine

Pernah anda bersama orang yang sekiranya tiada dia, akan hambarlah sesuatu kumpulan? Atau secara mudahnya, kehadirannya seolah-olah membawa sinar keceriaan dalam sesuatu majlis atau kehambaran anda pada suatu hari kembali gilang gemilang dengan kehadiran insan ini? Cukup sekadar menatap wajahnya, hati akan kembali berbunga setelah kuncup. Dialah Popular Sanguine. Ceria orangnya, ramah, mudah rapat dengan manusia, kelakar orangnya, sentiasa bersemangat, berpesonaliti menarik. Cumanya orang dalam kelas ini, secara umum mudah terlupa (selalunya sukar mencari barang sendiri, seperti kadang-kadang sugul mencari cermin mata yang tak jumpa-jumpa padahal sudah elok terselit di raut muka)

Kembali teratur bersama Perfect Melancholy

Artis, pelukis, penyajak kebanyakan masuk dalam kelompok ini. Mereka ini kreatif, artistik, tetapi lebih suka menyendiri, serius dan sangat teratur orangnya. Mungkin setengah orang menganggap betapa bosannya insan ini. Tetapi tanpa mereka maka tidak akan lahirlah pemuitis, sasterawan, komposer, pelukis yang hebat-hebat itu! Orang-orang dalam kelas ini selalunya agak sensitif dan agak susah nak mula bergaul.

Bercita-cita besar bersama Powerful Choleric

Orang jenis ini memang dilahirkan sebagai pemimpin. Tun Mahathir antara contohnya. Orang jenis ini selalunya bercita-cita besar, sangat mudah berkeputusan, serba-boleh, mampu mengatur, selalunya betul dan oleh sebab itu, orang jenis ini tidak sangat memerlukan teman.

Santai bersama Peaceful Phlegmatic

Orang jenis ini sangat mudah dijaga. Pendek kata jenis tak kisah, mampu berpuas hati dalam apa jua keadaan. Sabar orangnya, ‘cool’ kata orang putih, mudah didekati, ramai teman, pendengar yang baik dan penjaga keamanan seperti namanya. Orang ini lah yang selalunya menjadi pendamai di celah kemelut dan persengketaan.

Nak tahu anda dalam kelompok mana? Atau gabungan beberapa personaliti? Baca buku di bawah untuk ujian personaliti.

Personality Plus oleh Florence Littauer

Menarik sebenarnya mengenali manusia ini, sepertimana kata Ustaz Hazrizal, pendakwah perlu suka manusia. Nah belajarlah perihal perwatakan manusia yang kompleks ini. Siapa pun anda, itulah anda! Gunakannya untuk membawa manusia menuju Tuhan. Saidina Umar Alkhattab yang sangat terkenal dengan kebengisannya, masih tidak meninggalkan kebengisannya setelah memeluk islam, malah Nabi juga tidak menyuruh Umar menukar perwatakannya. Walaupun secara umum bengis merupakan sikap yang nampaknya mazmumah, ia boleh dilentur menjadi mahmudah! Cukup Umar sebagai contoh. Jadilah seperti logam. Andai anda faham, anda akan dapati setiap inci dalam diri anda mampu menyumbang kepada ISLAM!

عن أبي هريرة رضي الله عنه: قَالَ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم: (( الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام، إذا فقهوا )). صحيح البخاري

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Andai anda periang orangnya, riangkan hati teman dengan gurauan iman,
Andai anda serius orangnya, bawakan teman yang acuh tak acuh dalam tugasan untuk komited dalam gerakan,
Andai ada orang yang pandai bermadah pujangga, sisipkan madah-madah aqidah dalam hati pendengar,
Andai anda berwajah manis, tenangkan hati teman dengan rona yang soleh dan solehah,
Andai anda pandai melukis, lakarkan ‘lukisan’ Tuhan di hati teman ,
Andai anda apa-apa sahaja, anda pasti boleh menyumbang kepada AGAMA!

Carilah kekuatan diri, kerana Allah tidak menjadikan anda sia-sia.
Carilah. Kerana dirimu begitu berharga!

*siapa nak pinjam buku di atas, saya ada satu. Setelah anda buca buku ini, anda akan hargai mengapa orang lain tidak sama seperti anda!

Comments (4) »

Hinggap sebentar

Blog agak lengang.

Minggu-minggu belakangan ini seolah-olah tiada hujung minggu. Lepas satu, satu lagi bertimpa. Memang penat. Kalau ikutkan ada saja program IMAM hujung minggu ini. Tapi kata hati, berhenti dahulu, teliti kembali dirimu yang semacam tak terurus dua tiga bulan ini. Akademik,  kewangan, masyarakat, perlu dijenguk semula. Lagi pula peperiksaan akhir makin melambai-lambai.

Tanggungjawab melampaui masa yang ada kata Al-Banna. Nah, ada masa untuk perkara lain yang tak perlu? Setiap saat berharga teman.

Jangan menunggu kekuatan menjelma, kekuatan perlu dibina!

Orang bilang, dakwah nombor satu, akademik bukanlah nombor dua.

Ayuh semangat majukan langkah!!

Hanya kerana-Nya..

Sebagai hadiah buat kalian, hayatilah hadis ini:

Daripada Abu al-’Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai
anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang
memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
(Dipetik dari buku Hadis 40, hadis ke-19)

* Jutaan penghargaan kepada warga kerja NEXT 09, ISACstudio, teman-teman Munawwar, teman-teman nasyid CYMRU, sahabat-sahabat yang lama sudah tidak ketemu, tuan rumah tempat berkampung, terima kasih atas layanan anda semua.

Juga semua sahabat di Cardiff terutamanya dan serata UK Eire tak lupa juga sahabat-sahabat di benua kejauhan. Ukhwah yang terbina membuatkanku tersenyum!

Poem by: Hijaz Ridzwan Video by: Muhammad Nazmie Abdul Razak Presented by Nasheed Extravaganza Performance Unit 2009

Comments (5) »