Kota Istanbul penuh sejarah ini terletak antara dua benua; Asia dan Eropah. Istanbul sangat kaya dengan ribuan masjidnya. Diceritakan Istanbul sahaja terdapat kira-kira dua ribu masjid. Tidak pasti benar atau tidak akan angka itu. Pokoknya memang banyak. Apabila anda berdiri di suatu sudut Istanbul, Eminönü yang berada di pinggiran Goldern Horn contohnya anda akan dapat melihat lima buah masjid sekaligus dan setiap satunya bersaiz kira-kira sebesar Masjid Putrajaya! Rasa rindu mendengar suara azan di angkasa terubat sungguh di Istanbul. Tatkala masuk waktu solat, pelbagai stail azan akan kedengaran bersahut-sahutan. Biarpun banyak masjid, bilangan jemaah pada setiap kali solat boleh tahan bilangannya. Siapa kata orang Turki sekular? Read the rest of this entry »
Archive for June, 2009
Membina iklim sangka baik
Serendah-rendah martabat ukhwah adalah bersangka baik sementara setinggi-tinggi darjat ukhwah adalah melebihkan kepentingan sahabat berbanding diri sendiri, atau ithar. Selalu kita jaja kepada kawan-kawan dan orang lain supaya jangan bersangka buruk, malahan perlu sentiasa husnuz zon.
“Eh, hang ni cubalah sangka baik sikit, dosa tuh bersangka buruk”, “Saya tak peduli apa orang cakap, mulut orang mana boleh tutup”, “Orang sekarang ni tak habis-habis prejudis, buat ini salah, buat itu salah”, “Kami sembang-sembang je, bukan buat apa pun”. Mungkin kata-kata ini selalu kita dengar dari bicara orang kebanyakan.
Secantik namanya Islam, agama yang hanya diterima Allah ini mengajar kita supaya bertindak secara ’saling’. Kalau lelaki lebih diingatkan agar mengawal pandangan, Allah juga berpesan kepada wanita agar menutup aurat. Andai Allah menyuruh si suami berlaku adil kepada isterinya, isteri pula diseru agar taat kepada suami, dan banyak lagi contoh ‘kerjasama’ dan simbiosis dalam kehidupan beragama.
Sering kita menyuruh orang agar tidak bersangka buruk, tapi kita lupa kadangkala untuk menghindarkan diri kita dari keadaan yang mengundang kepada sangka buruk manusia.
Diceritakan dari sebuah hadis sahih ringkasannya begini (sumber Ustaz Zaharudin):
Suatu malam, Rasulullah s.a.w sedang beriktikaf di masjid bilamana Safiyyah, isteri baginda bertandang ke masjid bagi membincangkan sesuatu bersama Rasulullah. Malam itu bukan giliran Safiyyah, sebaliknya giliran isteri baginda yang lain, lantas Nabi dengan sifat adilnya meminta Safiyyah menangguhkan perbincangan pada ketika gilirannya. Disebabkan malam sudah pekat, maka Nabi mengiring perjalanan Safiyyah pulang ke rumah. Dalam perjalanan mereka dalam malam yang pekat itu, dua orang Ansar ternampak Rasulullah bersama seorang perempuan (Safiyyah) yang tidak mereka kenali. Lantas dua sahabat ini mempercepat langkah mereka memesong ke arah lain. Nabi ternampak akan hal itu lalu memanggil kedua-dua mereka. Nabi kemudiannya menerangkan bahawa wanita itu adalah Safiyyah, isterinya. Dua sahabat tadi menjelaskan bahawa mereka sememangnya tidak bersangka buruk terhadap Rasul kekasih Allah itu. Lantas Nabi menjawab (lebih kurang); “Aku tahu kamu tidak bersangka buruk terhadapku, tetapi aku risau bahawa syaitan akan melontarkan prasangka buruk dalam hati kamu”.
Iktibar dari hadis ini adalah jangan kita menyalahkan orang lain yang bersangka buruk terhadap kita, seandainya kita sendiri yang meletakkan diri dalam undangan sangka buruk manusia. Nabi mengajar kita untuk menjauhi lubang-lubang fitnah sedaya boleh. Peringatan buat diri sendiri dan kalian. Wallahualam.