Kematian itu merupakan tazkirah terbaik untuk manusia. Kita disunatkan untuk menziarahi orang sakit, kubur, juga orang yang sering mengingati mati dianggap sebagai orang yang paling bijak.
Atuk sememangnya sudah berumur. 86 tahun sedari tahun 1923 dilahirkan. Zaman demi zaman beliau tatap dengan perit sebuah kehidupan. Zaman komunis, pra-merdeka, pasca-merdeka dan zaman ICT, semua atuk lalui. Pengalaman hidup beliau tak dapat disangkal. Sembilan orang anak dengan ayahku yang ke enam. Berpagian ke kebun getah dengan alat toreh di tangan satu kemestian bagi sembilan beradik ini. Ke sekolah dengan bau dan lekatan getah di tangan sudah dilazimi. Kini anak-anak atuk senang semuanya. Alhamdulillah.
Khabaran dari pak cik saudaraku kepada ayah yang mengatakan bahawa atuk sudah kelihatan ‘lain’ dan saranan untuk pulang ke kampung, menjemput kami pulang pada petang itu juga. Lima jam memecut kereta dari Sungai Petani ke Nilai. Tiba di rumah sekitar jam 1 pagi dengan keadaan atuk yang tidak sedarkan diri. Mulut kering dan dada turun naik kencang. Nafas laju dan denyutan jantung sangat irrregular dan lemah. Atuk sedang bertarung dengan sakaratul maut. Terbayang aku bagaimana suatu hari nanti aku juga akan menghadapi saat yang sama.
Baru sekadar baring-baring, ayah dan pakcik saudaraku sedikit riuh. Kubingkas bangun dan memang aku menjangkakan bahawa atuk sudah mahu pergi. Nafas sudah perlahan. Anak-anak mengelilinginya dengan menyebut-nyebut kalimah Lailahaillah di sisi cuping. Keadaan kian mendung dengan esakan emak-emak saudaraku. Yang lelakinya juga sudah berkaca-kaca mata mereka. Sekitar jam 2.30 pagi hari selasa atuk pergi buat selamanya. Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Kini ayahku anak yatim piatu. Nenek telah lama meninggal akibat masalah buah pinggang. Aku sendiri tidak ingat akan rupa paras beliau. Terlalu kecil ketika itu.
Bacaan Quran dan tahlil terus menerus sehingga pagi. Apa yang mengharukan adalah jenazah diuruskan semuanya oleh anak-anak. Bermula dari mandi, kapan, solat jenazah dan urusan pengebumian. Ayahku sendiri yang mengimamkan solat jenazah biarpun beliau terasa agak kekok. Ini kali pertama aku melihat jenazah dihambat sakarul maut, saat nyawa dicabut dan urusan pengebumian di kuburan. Semoga pengalaman ini menjadi tazkirah terhebat buat diriku. Ulama sering berpesan apabila melihat kematian, renungkanlah saat kematian diri sendiri.
Moga Allahyarham (1923-2009) ditempatkan bersama orang-orang soleh. Atas asbab kehadiran beliau ke dunia, maka lahirlah ayah dan juga diriku.
kosas said,
July 28, 2009 @ 12:33 am
sungguh, mati itu tazkirah terbaik.. =) teerima kasih atas peringatan. Semoga arwah ditempatkan bersama orang2 yang ALLAH redha amalannya.ameen
JHaZKiTaRo said,
July 29, 2009 @ 2:34 am
moga dicucuri rahmat.. salam dari pelajar di bumi eire.. blog hopping..