Kamu Logam!

Allah Maha Pencipta. Sekreatif sang pelukis melakar potret, sang pujangga bermadah puitis, tuk dalang berwayang kulit, si komposer berirama lagu, itu semua hanyalah percikan kreativiti yang Allah beri. Sedari Adam diciptakan sehingga kini, entah berapa bilion agaknya manusia yang Allah telah cipta, dan saya rasa anda mampu bersetuju kiranya saya katakan tiada dua orang pun yang punya raut wajah yang sama, jauh sekali suara dan perawakan. Adapun teori yang mengatakan kita punya tujuh orang di dalam dunia yang memiliki wajah yang sama (tidak pasti sanad dan matan, dengar-dengar sahaja), pasti kesamaan tidak akan sampai kepada 100%. MasyaAllah kreatif kan Allah taala?

Jangan percaya Darwin. Anda Manusia sejak azali
Jangan percaya Darwin. Anda Manusia sejak azali

Begitu juga dengan perwatakan manusia. Tidak sama semuanya, namun ada kemiripan. Kadang-kadang kita tidak mampu menghargai rakan kita yang terlalu serius hidupnya, hanya kerana kita adalah seorang yang periang jenisnya. Kita juga kadang-kadang tidak mampu untuk memahami rakan kita yang pada pandangan kita, tidak teratur. Padahal baginya, sudah cukup teratur. Ini semua adalah kesan daripada perbezaan ciri yang Allah taala telah lengkapkan manusia sejak lahir.
Wajah tidak boleh berubah (kecuali pembedahan plastik), tetapi sikap boleh. Walaubagaimanapun kita seolah-olah telah dibentuk dan diacu untuk berada dalam sesuatu longgokon perwatakan, dan pada kebiasaannya, kita akan terdorong untuk kembali kepada sikap kita yang fitrah. Hipoccrates telah mengelaskan perwatakan manusia kepada empat kelompok. Popular Sanguine, Perfect Melancholy, Powerful Choleric dan Peaceful Phlegmatic. Setelah anda mengetahui anda berada di kelompok mana, anda akan sedari betapa berharganya diri anda dan lebih penting anda dapat menghargai sikap dan tabiat orang lain.
Tidak ada suatu kumpulan personaliti pun yang lebih baik atau buruk daripada yang lain. Masing-masing punya kekuatan dan kelemahan masing-masing. sekiranya anda tahu kelemahan anda, perbaiki diri dan andai anda sedar kelebihan anda, manipulasikan untuk kebaikan. Jadilah seperti logam!

Beriang ria bersama Popular Sanguine

Pernah anda bersama orang yang sekiranya tiada dia, akan hambarlah sesuatu kumpulan? Atau secara mudahnya, kehadirannya seolah-olah membawa sinar keceriaan dalam sesuatu majlis atau kehambaran anda pada suatu hari kembali gilang gemilang dengan kehadiran insan ini? Cukup sekadar menatap wajahnya, hati akan kembali berbunga setelah kuncup. Dialah Popular Sanguine. Ceria orangnya, ramah, mudah rapat dengan manusia, kelakar orangnya, sentiasa bersemangat, berpesonaliti menarik. Cumanya orang dalam kelas ini, secara umum mudah terlupa (selalunya sukar mencari barang sendiri, seperti kadang-kadang sugul mencari cermin mata yang tak jumpa-jumpa padahal sudah elok terselit di raut muka)

Kembali teratur bersama Perfect Melancholy

Artis, pelukis, penyajak kebanyakan masuk dalam kelompok ini. Mereka ini kreatif, artistik, tetapi lebih suka menyendiri, serius dan sangat teratur orangnya. Mungkin setengah orang menganggap betapa bosannya insan ini. Tetapi tanpa mereka maka tidak akan lahirlah pemuitis, sasterawan, komposer, pelukis yang hebat-hebat itu! Orang-orang dalam kelas ini selalunya agak sensitif dan agak susah nak mula bergaul.

Bercita-cita besar bersama Powerful Choleric

Orang jenis ini memang dilahirkan sebagai pemimpin. Tun Mahathir antara contohnya. Orang jenis ini selalunya bercita-cita besar, sangat mudah berkeputusan, serba-boleh, mampu mengatur, selalunya betul dan oleh sebab itu, orang jenis ini tidak sangat memerlukan teman.

Santai bersama Peaceful Phlegmatic

Orang jenis ini sangat mudah dijaga. Pendek kata jenis tak kisah, mampu berpuas hati dalam apa jua keadaan. Sabar orangnya, ‘cool’ kata orang putih, mudah didekati, ramai teman, pendengar yang baik dan penjaga keamanan seperti namanya. Orang ini lah yang selalunya menjadi pendamai di celah kemelut dan persengketaan.

Nak tahu anda dalam kelompok mana? Atau gabungan beberapa personaliti? Baca buku di bawah untuk ujian personaliti.

Personality Plus oleh Florence Littauer

Menarik sebenarnya mengenali manusia ini, sepertimana kata Ustaz Hazrizal, pendakwah perlu suka manusia. Nah belajarlah perihal perwatakan manusia yang kompleks ini. Siapa pun anda, itulah anda! Gunakannya untuk membawa manusia menuju Tuhan. Saidina Umar Alkhattab yang sangat terkenal dengan kebengisannya, masih tidak meninggalkan kebengisannya setelah memeluk islam, malah Nabi juga tidak menyuruh Umar menukar perwatakannya. Walaupun secara umum bengis merupakan sikap yang nampaknya mazmumah, ia boleh dilentur menjadi mahmudah! Cukup Umar sebagai contoh. Jadilah seperti logam. Andai anda faham, anda akan dapati setiap inci dalam diri anda mampu menyumbang kepada ISLAM!

عن أبي هريرة رضي الله عنه: قَالَ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم: (( الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام، إذا فقهوا )). صحيح البخاري

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Andai anda periang orangnya, riangkan hati teman dengan gurauan iman,
Andai anda serius orangnya, bawakan teman yang acuh tak acuh dalam tugasan untuk komited dalam gerakan,
Andai ada orang yang pandai bermadah pujangga, sisipkan madah-madah aqidah dalam hati pendengar,
Andai anda berwajah manis, tenangkan hati teman dengan rona yang soleh dan solehah,
Andai anda pandai melukis, lakarkan ‘lukisan’ Tuhan di hati teman ,
Andai anda apa-apa sahaja, anda pasti boleh menyumbang kepada AGAMA!

Carilah kekuatan diri, kerana Allah tidak menjadikan anda sia-sia.
Carilah. Kerana dirimu begitu berharga!

*siapa nak pinjam buku di atas, saya ada satu. Setelah anda buca buku ini, anda akan hargai mengapa orang lain tidak sama seperti anda!

Comments (4) »

Hinggap sebentar

Blog agak lengang.

Minggu-minggu belakangan ini seolah-olah tiada hujung minggu. Lepas satu, satu lagi bertimpa. Memang penat. Kalau ikutkan ada saja program IMAM hujung minggu ini. Tapi kata hati, berhenti dahulu, teliti kembali dirimu yang semacam tak terurus dua tiga bulan ini. Akademik,  kewangan, masyarakat, perlu dijenguk semula. Lagi pula peperiksaan akhir makin melambai-lambai.

Tanggungjawab melampaui masa yang ada kata Al-Banna. Nah, ada masa untuk perkara lain yang tak perlu? Setiap saat berharga teman.

Jangan menunggu kekuatan menjelma, kekuatan perlu dibina!

Orang bilang, dakwah nombor satu, akademik bukanlah nombor dua.

Ayuh semangat majukan langkah!!

Hanya kerana-Nya..

Sebagai hadiah buat kalian, hayatilah hadis ini:

Daripada Abu al-’Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai
anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang
memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
(Dipetik dari buku Hadis 40, hadis ke-19)

* Jutaan penghargaan kepada warga kerja NEXT 09, ISACstudio, teman-teman Munawwar, teman-teman nasyid CYMRU, sahabat-sahabat yang lama sudah tidak ketemu, tuan rumah tempat berkampung, terima kasih atas layanan anda semua.

Juga semua sahabat di Cardiff terutamanya dan serata UK Eire tak lupa juga sahabat-sahabat di benua kejauhan. Ukhwah yang terbina membuatkanku tersenyum!

Poem by: Hijaz Ridzwan Video by: Muhammad Nazmie Abdul Razak Presented by Nasheed Extravaganza Performance Unit 2009

Comments (5) »

Allah Satu

Tatkala mendengar lagu ini, tertarik dengan satu bait: Allah satu, selalu berikan yang terbaik untukku.

Hidup perlukan pilihan. Kadang-kadang kita terlalu memilih, kadangkala susah memilih, atau terkadang tanpa disedari terpilih. Malang, kadang-kadang juga terasa salah memilih. Pokoknya memilih bukan mudah. Selalulah memilih Allah sebagai pemilih untuk kita, agar apa yang dipilih merupakan pilihan yang terbaik.

Ada kalanya, pilihan orang lain dirasakan lebih baik. Milik orang lainlah yang terbaik, diri sendiri selalu  ada sahaja yang tidak kena. Sang syaitan seringkali menimbulkan prasangka buruk; kenapa aku tidak tidak dapat sepertimana mereka? Kenapa aku memilih ini, seandainya aku memilih itu…Andai aku miliki seperti mana mereka…

Katakan tidak, apa yang kita pilih atau apa yang diberi Tuhan untuk kita, selagi disuluh petunjuk, itulah pemberian terbaik untuk kita. Sebab Allah mengenali kita jauh dari kita mengenali diri sendiri.

Allah satu, pasti berikan yang terbaik untuk kita. Sudahkah kita beri yang terbaik untuk Allah?

Satu Yang Terbaik (Alginat)

Berdiri di sini..
Menatap kembali,
Silamku hitam tenggelam…

Sinar-Mu mengangkatku..
Tunjukkan arahku..
Kembali aku pada-Mu..

Pergilah jauh masa gelapku..
lembaran baru..
ini jalanku..

Di setiap langkah kusebut selalu..mengingati-Mu..
Labuhkan hati raih cinta-Mu
Kan kucoba yang terbaik untuk-Mu.. karena Engkau
Adalah yang terbaik untukku..
Allah Satu selalu berikan yang terbaik untukku..

Hari kulewati..
Mengasah pribadi..
Mengubur cerita nostalgia..

Terkadang kujatuh tak henti kucoba..
Bangkit kembali aku pada-Mu..

Pergilah jauh masa gelapku..
lembaran baru..
ini jalanku..

Di setiap langkah kusebut selalu..
mengingati-Mu..
(mengingat diri-Mu)

Dikala gundah datang gelisah..
Bila hatiku terbelenggu ragu..
Nafsu tak menentu…
Ya Allah kuatkan aku…

Kan kucoba yang terbaik untuk-Mu karena Engkau..
Adalah yang terbaik untukku.
Allah Satu selalu berikan yang terbaik untukku..

Comments (2) »

Sibuk yang nikmat

Sangat sibuk lagi memenatkan. Bulan dua dan tiga ini menyaksikan tulang empat kerat perlu dikerah. Kata seorang ustaz yang pernah memberi ceramah di KMB (tak ingat namanya), ‘Buat ibadah memang penat!’. Justeru, terimalah kenyataan, tiada bersenang-senang dalam beribadah.

Tidak ada apa-apa spesifik yang hendak dikongsi kali ini melainkan sebuah hadis qudsi:

“Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang menolong-Ku) sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hamba-Ku menghampirkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang paling Aku sukai selain daripada perkara yang telah Aku fardukan kepadanya. Sentiasalah hamba-Ku menghampirkan diri kepada-Ku dengan melakukan perkara-perkara sunat sehinggalah Aku mengasihinya. Apabila Aku mengasihinya maka Akulah pendengarannya yang ia mendengar dengannya, Akulah penglihatannya yang ia melihat dengannya. Akulah tangannya yang ia menampar dengannya dan Akulah kakinya yang ia berjalan dengannya. Apabila ia meminta kepada-Ku nescaya pasti akan Ku berikan kepadanya, apabila beliau meminta perlindungan-Ku nescaya pasti beliau Ku lindungi. Tidaklah aku merasa ragu-ragu (melakukan) sesuatu yang Ku-lakukan seperti keraguan-Ku untuk mencabut nyawa hamba-Ku yang mukmin yang bencikan mati sedang Aku benci menyakitinya” (Riwayat Al-Bukhari daripada Abu Hurairah)

Jom tambah amalan!

Leave a comment »

Kembara Cardiff-Turki 1: Cinta pertama di Turki

Tepat jam dua petang, bas tambang murah Mega Bus, meluncur laju menuju kota metropolitan London dari kota kecil Cardiff ini. Alhamdulillah, syukur, tiada seorang pun yang tertinggal (8 orang semuanya), untuk permulaan kembara ini, walaupun ada barang penting yang tertinggal :P . Di London, setelah makan malam dan solat, kami menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick dan bermalam di situ. Tiada pilihan lain kerana pesawat akan berlepas pada pukul 7 pagi esoknya.

P

Orang Melayu 'menanda kawasan' di Gatwick Airport. Agak mencacatkan pemandangan :P

isk...isk..

isk...isk..

Ada benar kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia”. Belum lagi berlepas ke Istanbul, kami terserempak dengan beberapa orang Melayu Islam, ikhwah dari Leeds dan tak ketinggalan saudara Najib Jaafar dan isterinya (bulan madu?). Semuanya ingin ke destinasi yang sama. Rasanya, orang eskimo pun pasti pernah beberapa kali terserempak dengan orang Melayu di Kutub Utara :P .

Penerbangan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 3 jam 50 minit itu bertukar menjadi hampir 6 jam akibat delay kerana keadaan kabus melampau dan akibat menunggu seorang pramugari yang masih belum kunjung tiba. Macam-macam.

Setibanya di Istanbul, Sabiha Gocken International Airport, kami seolah-olah disambut ribuan orang Turki yang membanjiri lapangan terbang. Terharu juga mula-mula. Sangat sesak hingga menyukarkan laluan. Rupa-rupanya mereka sedang menanti sanak-saudara yang baru pulang dari mengerjakan haji. Sebegitu sekali sambutan mereka. MasyaAllah. Keharuan kami tersilap rupanya.

p. (Entah kenapa ada banner Malaysian Airport di situ)

Ribuan manusia menyambut kedatangan kami :p. (Entah kenapa ada banner Malaysian Airport di situ)

Para haji dan hajah yang disambut kepulangan mereka

Para haji dan hajah yang disambut kepulangan mereka

Dari Harem Istanbul, kami menuju ke Bursa dengan menaiki bas. Memang benar, orang Turki sangat-sangat memuliakan tetamu mereka. Walaupun bahasa menjadi penghalang, namun mereka sangat peramah dan sudi melayan kerenah kami. Berbekalkan buku Turki di tangan dan kaedah ‘draw, win or lose’ komunikasi berlangsung agak rancak. Di dalam bas, kami berjumpa dengan salah seorang pemain bola untuk salah satu kelab Liga Turki (tak pasti apa kelab itu). Juga tidak ketinggalan konduktor bas yang sangat peramah. Bas yang kami naiki perlu menaiki sebuah feri untuk merentasi laut (ala-ala feri Pulau Pinang). Di atas feri, kami belajar serba-sedikit bahasa Turki dan bayangkan konduktor bas yang menggelarkan dirinya Wahid Disko itu membelanja kami minum çai (baca= chai, makna= teh), seorang secawan. Tak pernah dibuat oleh mana-mana konduktor bas rasanya (maaf kalau ada).

Dari kiri, Wahid Disko dan Targay yang peramah

Dari kiri, Wahid Disko dan Targay si pemain bola yang peramah

Dibelanja teh dan sesi 'Mari belajar bahasa Turki'

Dibelanja teh dan sesi 'Mari belajar bahasa Turki' di atas feri

Sesi 'Draw, Win or Lose'

Sesi 'Draw, Win or Lose'

Di Bursa, sekali lagi rezeki Tuhan datang. Setelah beramah mesra (asalnya mahu bertanya bagaimana ke bandar Bursa) dengan beberapa orang tempatan di stesen bas, kami dilayan seperti VIP. Naik bas ke bandar tanpa bayaran walaupun sesen, setelah pemandu bas diberi arahan oleh orang yang ditanya sebentar tadi. Pengarah syarikat bas barangkali. Jatuh cinta terus pada orang-orang Turki. Baiknya melampau. Di Bursa kami menginap di hostel murahan. Penangan daripada nikmat murah itu, kami terpaksa tidur dan ‘mandi’ tanpa heater dalam keadaan suhu 6-8° selsius. Adapun heaternya sangat menakutkan. Hanya menggunakan ketulan arang dan hanya dihidupkan untuk dua tiga jam. Pemanas yang seolah-olah tidak ‘ikhlas’ berfungsi.

'Heater' arang yang menakutkan

'Heater' arang yang menakutkan

Aksi staff cemerlang

Antara gelagat menarik di Bursa: Aksi staff cemerlang

dscn1010

Bursa

Mengapa Bursa? Bursa merupakan ibu kota awal (pertama rasanya) kerajaan Turki Othmaniyah, sebelum dipindah ke Edirne dan seterusnya Istanbul. Dibuka oleh Orhan Gazi, anak kepada Osman Gazi. Nama Othmaniyah pada kerajaan ini diambil sempena nama pengasas kerajaan ini, iaitu Osman Gazi. Ini bermakna kerajaan Islam telah wujud di Turki sebelum dibukanya kota Constantinople oleh Sultan Mehmed II.

Kini Bursa menjadi bandar ke empat terbesar di Turki. Kami sempat berkunjung ke makam Osman dan Orhan Gazi. Mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama orang-orang soleh. Amin.

Makam Orhan Gazi, yang membuka Bursa. Al- Fatihah

Makam Orhan Gazi, yang membuka Bursa. Al- Fatihah

Bersambung….

Pengajaran:

  1. Biarpun pada pandangan manusia serpihan sekular masih wujud di Turki, namun budaya malah sunnah Nabi iaitu memuliakan tetamu sangat-sangat jelas. (Ini di Bursa, bukan kawasan bandar besar. Di Istanbul orang-orangnya ramah, tetapi tidak seramah orang-orang Bursa). Ada sekumpulan pelajar yang sanggup pusing melalui jalan yang jauh hanya untuk menegur “Welcome to Bursa“.
  2. Apabila ke mana-mana bawalah buku panduan bahasa orang tempatan, atau anda akan mati kutu.
  3. Banyak bergantung dan berdoa kepada-Nya supaya diberi kemudahan dalam musafir.
  4. Jadi seramah yang mungkin.
  5. Contohi mujahid terdahulu dalam menegakkan daulah Islam di muka bumi.

Entri dahulu yang berkait:

  1. Turkiye!
  2. Kembara Cardiff-Turki: Prolog

Leave a comment »

Santai sejenak

Lagu ini akan jadi lagha andai anda menafsirkan ‘Kekasih’ sebagai buah hati anda.

Lagu lama dan sentimental. Penuh makna.

Leave a comment »

Hujung minggu di Galway

Hujung minggu di Galway Ireland amat meletihkan.

Sekurang-kurangnya pertemuan dengan sahabat-sahabat serata Ireland dapat melenyapkan sebentar rasa penat. Tiba di lapangan terbang Shannon pada jam 11 malam hari jumaat, terus dipandu ‘rempit’ oleh Azri ke Galway. Tersadai juga kereta di tepi jalan akibat rasa kantuk pemandu yang tak dapat ditahan-tahan. Jam 4 pagi baru tiba di Galway dengan kepala yang berpinar-pinar. Hari Sabtu bukanlah hari santai yang membolehkan kaki digoyang. Membantu tuan pengurus Next Eire ke hulu dan ke hilir bagi menyiapkan tugasan akhir sebelum tiba hari sebenar pertandingan. Terpaksa jugalah memekak di dalam kereta (latihan) akibat kekangan masa yang menghimpit.

Syukur. Meskipun cacat-cela dan tunggang-langgang semasa persembahan, Munawwar hanya mampu meraih tempat ketiga. Alhamdulillah. Nyaris-nyaris tidak ada tempat langsung. Peserta semuanya hebat-hebat belaka. Tahniah kepada Muaz (RCSI) dengan persembahan solonya yang memukau dan persembahan penuh bertenaga kumpulan Atap Hijau, Cork. Masing-masing adalah johan dan naib johan. Tidak dilupakan juga persembahan mantap dari kumpulan UCD Band juga persembahan menghiburkan Gema Galway dan peserta solo, Khairul Azhar.

img_01691

img_01711

Maaf kepada saudara Waqi kerana sajak beliau tidak berjaya ditayang dan diperdengarkan semasa persembahan kami. Slaid hanya mampu disiapkan pada jam 10 pagi sebelum acara bermula pada 11 pagi. Maka terpaksa saja untuk membatalkan keterlibatan sajak tuan Pemburu Syurga untuk diperdengarkan.

Tetamu dari kepulauan British hanya tiga orang, saya sendiri, saudara Izzat Mirwana dan Ustaz Erfino. Teringat saya kata-kata Hijaz, “Effort gile ko datang!”.

Berkampung di ‘banglo’ Azri dan rakan-rakan yang lain (memang betul-betul banglo) terasa benar seperti di rumah sendiri.  Dengan hampir 20 sahabat dari serata Ireland datang berkampung, suasana terasa seperti malam sebelum raya. Ketukan conga juga pekikan suara-suara membingitkan rumah. Maaf sajalah tuan rumah.

Persembahan oleh ustaz Erfino dan Izzat Mirwana amat mantap. Nantikan di You Tube!

Tahniah diucapkan kepada urus setia Next Eire yang tidak keterlaluan untuk saya katakan setanding dengan Next di Sheffiled. Selepas ini, komitmen saya bersama Cymru dan Munawwar untuk NEXT di Sheffield pula.

Kemenangan bukan pokoknya, namun objektif program perlu terlaksana. Andai anda meminati muzik, jangan rosakkan diri anda dan orang lain kerananya. Apa sahaja yang anda minati, teruskan dan kembangkan potensi serta pastikan Islam menjadi saduran. Jadilah seperti logam!

Nasyid bukanlah medium dakwah yang utama, namun percikan dakwah mampu diselit dalam nasyid. Biarpun sedikit.

Senyum Seindah Suria
27 Januari

Comments (5) »

Bangga seorang ibu

Abu Baraq, pemilik Masjid Darul Isra, di Wyeverne Street, Cardiff merupakan anak watan Palestin. Cumanya beliau sudah lama menetap di bumi penjajah ini. Biarpun jasadnya jauh merentas sempadan negara bangsa, semangat jihad anak Palestin ini tidak dapat digugah. Setiap khutbah yang disampaikannya penuh bersemangat dan punya roh. Jarang-jarang sekali ada anak jemaah yang tersengguk-sengguk. Ada juga yang bergenang air mata mendengar laungan juang melalui khutbahnya.

Abu Baraq (kanan sekali)
Abu Baraq (kanan sekali yang berjambang putih)

Beberapa hari lalu, isteri beliau menerima khabaran dari saudaranya dari Palestin menceritakan belasan keluarga mereka di sana telah ‘pergi’ akibat ke’anjing’an Zionis itu. Esakan tangis isteri Abu Baraq telah diseka oleh saudaranya tadi dengan pertanyaan, “Mengapa kamu menangis? Aku berbangga dengan anak-anakku yang telah syahid. Ini adalah satu kemuliaan dari Tuhan. Allah telah mencampakkan banyak kesabaran dalam hatiku. Kami di sini tidak akan berundur. Kami hanya perlukan DOA kamu”.

*Diceritakan oleh Abu Baraq seusai solat jumaat 16 Januari 09.

Sungguh, syurga itu mahal. Mereka telah pun membayarnya dengan nyawa.

KITA?

Muat turun Poster Gaza di Isac Studio

Muat turun Poster Gaza di Isac Studio

Comments (1) »

Suara keramat?

Demonstrasi jalanan sering dikaitkan dengan keganasan, emosi menyala-nyala, baling-baling batu, dan kibaran poster serta sepanduk. Sekiranya di Malaysia, polis akan kata, jangan.
Signifikan atau tidak sesuatu demonstrasi bergantung pada pelaksanaannya. Di sesetengah tempat demonstrasi jalanan seolah-olah tidak diberi ruang walaupun sesuatu demonstrasi itu dilaksanakan se’bersih’ mana sekalipun.
Ada orang kata demonstrasi tidak membawa sebarang faedah. Bukan budaya ‘kita’ dan tak kurang juga ramai yang menyetujuinya.
Malam 31 Disember 2008 tepat jam 5, satu demonstrasi untuk membangkitkan kesedaran masyarakat tentang keganasan Israel terhadap rakyat Palestin telah diadakan di Queen Street, Cardiff. Saya yakin pada waktu yang sama banyak lagi demonstrasi yang dianjurkan di tempat-tempat lain.
Anda bersetuju atau tidak dengan cara ini, terpulang kepada anda.
Biar gambar di bawah menjelaskan keadaan pada malam tersebut. (semestinya tidak berlaku seperti apa yang saya sifatkan pada ayat pertama perenggan atas, kecuali sepanduk)

img_0015

img_0020

img_0025

img_0022

img_0018

img_00221

Biarpun suhu di bawah takat beku (-2 darjah selsius), bahangnya amat terasa. Nampaknya bukan muslim juga menentang kezaliman Israel.

Teruskan berdoa, kerana doa itu senjata bagi orang mukmin.

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata: “Apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaknya imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang dibelakangnya. ” (Al-Mughni 1/450)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: “Di kalangan ulama ada tiga pendapat tentang qunut. Yang paling benar dari tiga pendapat tersebut, qunut disunnahkan ketika ada keperluan.،¨ (Taudhih Al-Ahkam).

Contoh bacaan qunut nazilah yang biasa (Lafaz ini bukan dari Nabi SAW, justeru ada kelonggaran dalam lafaz)

اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم اللهم بَدِّد شَملَهُم و

فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباَ مِن كِلاَبِكَ يا

قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم يا الله يا الله يا الله

اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ إِهزِمهُم إِهزِمهُم

إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka. Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka. Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka. Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka. Wahai tuhan yang gagah perkasa. Wahai Tuhan yang penuh raksasa. Wahai Tuhan yang bersifat murka. Ya Allah Ya Allah Ya Allah Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Wahai Tuhan yang mengarakkan awan. Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab. Kalahkan mereka. Kalahkan mereka. Kalahkan mereka. Dan menangkan kami ke atas mereka.

(Dipetik dari blog ini)

Selamat tahun baru Hijrah 1430 dan tahun baru masihi 2009.

Mereka sudah ramai yang syahid, melangkah ke syurga tanpa hisab. Kita?

Comments (2) »

Jom Peduli!

Nak ke Gaza dan mengacu senapang?
Nak ke US dan berdiplomasi dengan agen-agen Yahudi itu?
Hendak bersemuka dengan pemimpin negara-negara OIC agar berbuat sesuatu?
Andai tidak mampu pun, tolong hulurkan sedikit bantuan KEWANGAN, titipkan DOA, pohon doa, minta doa, solat hajat.
Ayuh kawan-kawan, bantu sedaya mana yang boleh.
Jangan langsung tidak berbuat apa-apa!
Orang beriman sentiasa peduli akan saudaranya tidak kira di mana.
Berimankah kita?

Tolong klik banner di bawah:

Comments (1) »